WOOCOMMERCE | WooCommerce.com mengumumkan kemaskini terbaru plugin edagang WooCommerce dengan beberapa pembaharuan, terutama membabitkan aturan atribut (attribute).
Kepada pengguna baru WordPress, WooCommerce ialah antara beberapa plugin pilihan utama pengguna platform ini untuk menjalankan sistem edagang di sesebuah laman web atau blog.
Dengan plugin ini, sesebuah laman web atau blog mampu berfungsi mengendalikan paparan produk untuk jualan online, urusan akaun dan belian oleh pelawat serta beberapa fungsi lain dengan bantuan plugin berbeza.
Dalam pengumuman terbaru WooCommerce.com ini, ada beberapa pembaharuan diperkenalkan menerusi WooCommerce 6.0 ini, termasuklah dari segi teras asas (WooCommerce Core), pengurusan (WooCommerce Admin) dan blok (WooCommerce Block).
Dan, pada kami, apa yang paling menarik dan utama dalam kemaskini WooCommerce kali ini ialah dari segi perubahan atribut ke arah lebih sempurna serta mengatasi beberapa masalah terdahulu membabitkan variasi produk.
Sebelum ini pengguna WooCommerce menghadapi masalah setiap kali berlaku perubahan variasi produk, terutama apabila sesetengah produk yang sama variasi ketiadaan stok manakala produk yang juga sama variasi masih mempunyai stok.
Apabila atribut dipilih untuk WooCommerce menapis dan mengenal pasti produk, semua produk pembolehubah yang mempunyai variasi sepadan dengan sesuatu, akan dipaparkan seperti biasa.
Ini termasuklah produk yang tidak mempunyai stok bagi variasi itu.
Contohnya bagi produk baju yang mempunyai kepelbagaian warna seperti merah, hijau, kuning dan sebagainya. Sesetengah warna mungkin sudah habis, tetapi plugin WooCommerce memaparkan seolah-olah stok berkenaan masih ada.
Menurut WooCommerce.com, mereka menyedari masalah itu sejak beberapa ketika, tetapi usaha mencari penyelesaiannya tidak mudah.
“Kami melakukan percubaan dalam WooCommerce 4.4, tetapi kami terpaksa berpatah balik ke set versi terdahulu kerana ia tidak betul-betul berfungsi dengan baik serta menyebabkan beberapa isu lain,” kata WooCommerce.com dalam kenyataan terbaru.
Apa yang mustahak sebelum melakukan kemaskini, anda sangat dinasihatkan agar melakukan backup pada laman web atau blog anda.
Anda juga perlu semak dengan teliti bagi memastikan theme dan plugin pada laman web atau blog anda itu serasi dengan kemaskini terbaru WooCommerce ini.
Untuk panduan keserasian kemaskini WooCommerce, anda boleh baca di sini.
Untuk cara memasukkan aturan atribut terbaru WooCommerce 6.0 ini ke dalam laman web atau blog anda, anda boleh klik di sini.
Untuk mendapatkan bantuan pemasangan atau kemaskini, anda boleh berhubung dengan pakar (expert) WordPress yang boleh ditemui di grup KKWP di sini.
Mungkin bayaran minimum dikenakan oleh pakar-pakar berkenaan untuk servis mereka. – KKWP.my