Domain ialah perkara wajib ada apabila mahu membina atau mempunyai laman web. Contoh domain ialah google.com, apple.com, facebook.com, microsoft.com dan sebagainya.
Domain juga mewakili jenama anda. Senarai di atas ialah contoh jenama besar yang ada domain dot com masing-masing.
Top-Level Domain (TLD)
Antara domain dalam kategori TLD ialah .com, .org dan .net. Domain ini memang antara yang terawal dan paling ramai digunakan sejak Internet wujud.
Country Level Domain
Semua negara mempunyai domain dua huruf untuk melambangkan ia kepunyaan negara atau individu / jenama yang berasal dari negara berkenaan.
Di Malaysia, domain seperti .my, .com.my, .net.my, .org.my, .edu.my dan .mil.my ialah kategori domain mengikut negara.
Untuk daftar domain .com.my perlu ada pendaftaran syarikat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beberapa maklumat lain.
Untuk daftar domain .my, jika untuk syarikat, perlu SSM, tetapi jika untuk individu, hanya perlu nombor Kad Pengenalan serta beberapa maklumat lain yang berkaitan.

Ada beza domain .com dan .com.my?
Ini soalan yang selalu ditanyakan kepada saya.
Saya selalu jawab “.com ni sesiapa pun boleh beli, tapi .com.my ni, memang orang dan perniagaan di Malaysia sahaja dapat beli”.
Domain yang ada dot my dapat memberi persepsi jenama dan keluaran tempatan dan perniagaan pula diuruskan oleh orang tempatan.
Kemungkinan kita dapat lihat alamat surat-menyurat bagi perniagaan yang menggunakan domain ini adalah di Malaysia.
Google juga menggunakan indikator domain mengikut negara sebagai isyarat untuk mengenal pasti laman web tempatan atau tidak.
Adakah domain dapat mempengaruhi Search Engine Optimization (SEO)?
Tidak semestinya. Memang Google biasanya akan naikkan paparan (rank) jika ada katakunci (keyword) dalam alamat laman web atau domain berkenaan, tetapi tidak semestinya katakunci itu perlu ada dalam domain.
Ada banyak faktor yang mempengaruhi Optimasi Enjin Carian (Search Engin Optimization – SEO) sesebuah laman web. Antaranya:
- kualiti artikel
- penguasaan topik (authority)
- bilangan backlink dan isyarat sosial (social signal) – likes, komen, share
- mesra gajet mudah alih (mobile friendly) dan kelajuan laman web
Oleh itu, walaupun domain berkenaan ada katakunci yang dicari, jika website atau artikel terbabit tidak dioptimumkan dengan baik, ia mungkin susah untuk dapat berada pada halaman pertama enjin carian.
Jika begitu, apa domain yang perlu dibeli?
Untuk menjawab soalan ini, anda perlu tahu tujuan anda mahu mempunyai sesebuah laman web.
1. Domain jenama untuk kegunaan website korporat & email
Jika untuk profil syarikat, email nama syarikat atau jenama, anda perlu ada domain dengan jenama atau nama syarikat.
Sampai bila anda nak guna email dengan jenama @gmail.com dan @yahoo.com?
Mungkin nampak sangat tidak profesional, terutama apabila anda syarikat besar dan bertujuan menyertai projek “lima-enam angka”.
Anda mungkin tidak akan jumpa email personaliti utama seperti billgates.microsoft@gmail.com atau timcook.apple@yahoo.com.
Domain jenama juga perlu konsisten apabila digunakan di akaun media sosial. Domain dan username seperti di Facebook, Twitter dan Instagram akan kelihatan konsisten apabila digunakan di media cetak.
Anda boleh semak domain dan username menggunakan servis NameCheckr.com
2. Domain nama sendiri untuk personal branding
Jenama peribadi (personal branding) juga penting jika seseorang mahu menggunakan diri sendiri untuk menjual produk atau perkhidmatan.
Saya sendiri masih menggunakan domain AdlanKhalidi.com supaya domain tidak menjadi milik orang lain.
3. Domain untuk kempen pemasaran
Domain juga boleh menggunakan nama kempen pemasaran digital (digital marketing) yang sedang anda jalankan.
Domain berkenaan mungkin juga satu tagline kempen pemasaran yang sangat menarik, iaitu yang mudah “tangkap mata dan tangkap fikiran” (catchy).
Disebabkan kempen biasanya menggunakan “landing page” untuk memperolehi email atau pendaftaran, banyak domain sebegini tidak kekal lama dan tidak dibaharui untuk tahun seterusnya.
Contoh domain untuk kempen ialah:
- nakubahhidup.com daripada Richworks International Sdn Bhd
- pricelesssurprises.com daripada MasterCard Incorporated

4. Domain untuk produk / servis utama
Walaupun Telekom Malaysia Berhad (TM) sudah ada domain tm.com.my, mereka juga perlu ketengahkan produk mereka yang lain seperti Unifi dan Streamyx – unifi.com dan streamyx.com.
5. Domain untuk kekalkan jenama dan harta intelek (IP)
Jika anda sudah daftar IP untuk jenama sendiri, anda mungkin perlu daftar domain bukan sekadar .com, malah .com.my, .my dan negara yang anda ada potensi untuk masuk pasarannya.
Contoh seperti yang dilakukan oleh Google. Semua domain negara-negara di dunia sudah dibeli oleh sayarikat ini. Antaranya google.com.my, google.com.id, google.com.in dan google.com.cn.

6. Domain katakunci untuk SEO dan Google Ads
Seperti saya terangkan di atas, Google akan letak penafaran (ranking) yang tinggi jika ada katakunci dalam alamat laman web (ulr).
Namun, apa yang penting, lebih elok katakunci turut diletakkan di dalam slug alamat laman web itu sendiri supaya jenama anda boleh berada pada domain utama.
Contohnya, untuk Google Ads, lebih baik jika anda menggunakan domain sendiri; bukan platform Blogger (blogspot.com) kerana anda dapat baca data yang tepat dalam paparan di Auction Insights.
Contoh formula domain yang menggunakan katakunci ialah:
- jenis produk + murah .com
- servis + lokasi .com
Kesimpulan
Sejak tahun lalu, kekuatan jenama adalah elemen yang paling Google beri tumpuan untuk SEO.
Orang ramai juga lebih mudah mengingati jenama berdasarkan katakunci atau produk atau servis yang anda tawarkan di dalam mana-mana laman web atau blog.
Saya sendiri sudah berjaya menggunakan kekuatan jenama dan terbukti hasilnya untuk paparan di muka pertama Google tanpa perlu membeli domain katakunci yang saya hajati.
Saya sarankan agar anda juga tumpukan pada pembinaan jenama. Pembinaan jenama memang memerlukan kesabaran, tetapi pulangannya sangat berbaloi apabila jenama kita mempunyai pengaruh (authority) pada penilaian Google. – kkwp.my
Imej: booking.com