Facebook down » Facebook dan beberapa laman sosial yang menjadi “tempat bergantung” hampir semua peniaga online tempatan dilaporkan menghadapi masalah sejak semalam Rabu 13 Mac 2019.
Tentu ia menimbulkan tanda tanya, malah mungkin juga panik kepada ramai peniaga online yang bergantung kepada Facebook serta laman sosial lain untuk mendapatkan pelanggan dan meraih jualan.
Laman sosial lain yang dilaporkan turut bermasalah ialah Instagram dan WhatsApps.
Sebagai peniaga online yang menggunakan hampir sepenuhnya laman sosial seperti Facebook untuk memperolehi pendapatan, apa tindakan patut anda ambil untuk mendepani kebarangkalian masalah ini berulang dan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum saat sangat terlewat sehingga menjejaskan pendapatan perniagaan anda?
Menurut laporan agensi berita AFP hari ini, masalah Facebook dan beberapa laman sosial lain dihadapi di beberapa bahagian dunia apabila pengguna tidak dapat akses atau menghadapi masalah fungsi terhad.
Bukan kali pertama Facebook bermasalah!
Ini bukan kali pertama Facebook menghadapi masalah. November lalu, gangguan di Facebook disebabkan masalah pelayan, manakala pada September 2018 dipercayai ada kaitan dengan masalah rangkaian.
Apa yang anda sebagai peniaga online patut tahu ialah Facebook dan semua media sosial lain adalah bukan di dalam kawalan anda. Ia milik orang lain. Apa juga yang berlaku ke atasnya, anda hanya mampu menerima kesannya tanpa dapat berbuat apa-apa.
Analogi mudah ialah berada di dalam kenderaan dipandu orang lain dan milik orang lain berbanding kenderaan anda sendiri dan dipandu anda sendiri.
Jadi, sebagai peniaga online, apa anda patut lakukan sekarang bagi mengelak kemungkinan buruk akibat masalah Facebook dan mana-mana laman sosial lain?
Satu daripada nasihat yang boleh dipertimbangkan ialah “back to basic”, iaitu kembali kepada aktiviti online dan menjual secara online menggunakan laman web dan blog.

Ini bermakna selain Facebook dan laman sosial tertentu, peniaga online perlu dan patut mempunyai laman web atau blog sendiri sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sesuatu di luar jangkaan terhadap mana-mana laman sosial berkenaan.
Ia seperti dicadangkan Azrin Amin dalam respons beliau kepada Mohd Ubaidillah Bin Draman di KKWP berhubung masalah gangguan pada Facebook.
“Back to basic”
Menurut Azrin, banyak negara seperti Singapura sudah memberi amaran mengenai Facebook, termasuklah kes menjual data pengguna dan kewujudan “backdoor” di laman berkenaan untuk agensi perisikan tertentu.
“Kalau takde, back to basic lah, blogging,” cadang beliau.
Dalam hubungan ini, Mohd Ubaidillah mencadangkan komuniti peniaga online diberikan tunjuk ajar sewajarnya bagaimana mendapatkan jualan menggunakan laman web atau blog.
Ini kerana katanya, blogging tidak seperti Facebook dari segi mendapat responds segera dari prospek sedangkan peniaga online mahukan respons segera.
Mengenai aspek ini, komen Azrin:
“Tu bila kita guna social media sebagai center untuk promotion kita.
“Social media ni orang punya, kalau tak kena bayar, kena tindas.
“Tukar, jadikan website sebagai center promotion kita yang dah tentu kita yang punya.
“Dah website tak femes (famous), tak promote, takde content, tak ada authority, bukan trend setter, macamana orang nak beli”.
Sementara itu, Al-Hadee Mohd Roslan mencadangkan aktiviti blogging dilengkapkan notifikasi pelayan (browser notification) serta pemasaran email dengan mewujudkan senarai alamat email.
“Setiap kali update blog, sistem terus hantar browser notification dan email kepada subscribers,” catat beliau.
Perbincangan berkenaan dapat diikuti di sini.
Kemungkinan hilang mata pencarian
Justeru, peniaga online patut pertimbangkan semua nasihat ini atau akan hadapi kemungkinan hilang mata pencarian dalam sekelip mata.
Artikel ini bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa, tetapi sebagai satu cadangan langkah berjaga-jaga dengan mewujudkan instrumen lain dalam bentuk laman web dan blog di samping laman sosial Facebook dan sebagainya.
Peniaga online boleh menghubungi mereka yang berpengalaman di sini untuk bertanya atau mendapatkan khidmat nasihat pembinaan laman web dan tips menghasilkan blog secara bijak.
Mereka ini tahu bagaimana untuk menjadikan produk atau servis yang anda jual mudah dan sentiasa ditemui di enjin carian seperti Google oleh masyarakat pengguna dan prospek yang memerlukan. – kkwp.my
Imej: hercampus.com